Sunday, 15 February 2015

I'm Tired Already!!

Hello! Pukul 2.54 pagi. Masih berjaga untuk siapkan essay for MUET. Danggg!

Saturday, 6 December 2014

Aku Bukan Dia 2

Koridor blok B itu penuh dengan para pelajar yang mahu menuju ke kelas masing-masing. Langkah merekanya semua laju kerana takut terlambat masuk ke dalam kelas sebelum loceng berbunyi.
Hanya Luqman saja yang mengatur langkah malas menuju ke kelasnya yang terletak di hujung koridor itu. Beg galasnya disandang di sebelah bahu saja. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Di mulutnya terdapat sebatang gula-gula lolipop. Lagaknya seperti samseng saja.
“Hakim!” Tiba-tiba kedengaran nama adik kembarnya itu dipanggil. Luqman malas mahu mengambil tahu. Langkah terus dibuka tanpa mempedulikan sekelilingnya.
“Hakim!” Suara itu semakin kuat kedengaran berhampiran dengannya. Tidak lama selepas itu, seorang pelajar perempuan bercermin mata berbingkai tebal berdiri di hadapannya sambil tersenyum.
Luqman kehairanan atas dua sebab. Pertama, dia tidak mengenali pelajar itu. Kedua, nama Hakim yang disebut tetapi kenapa pelajar itu berdiri di hadapannya pula?
Pelajar itu menghulurkan sebuah buku nota kecil berwarna hijau. “Nah, ini nota yang awak  bagi saya pinjam semalam. Saya dah salin. Nota awak memang kemas dan senang untuk dibaca,” Puji pelajar itu tanpa menyedari yang dia sudah tersalah orang.
Luqman menjongket kening tanda hairan.
Memang tidak dinafikan yang wajah dia dan Hakim amat serupa sekali sehingga kadangkala guru-guru dan pelajar sekolah lain keliru mahu mengenal pasti mereka.
 Namun, perbezaan antara dia dengan  adik kembarnya itu ialah Hakim seorang pengawas dan dia hanyalah seorang pelajar biasa. Rasanya itu semua sudah diketahui oleh semua di sekolah ini.
Tapi yang peliknya, mengapa masih ada pelajar lagi yang sudah tersalah anggap antara dia dan Hakim?
Pelajar perempuan itu menghulurkan lagi buku nota itu kepada ‘Hakim’ kerana pelajar lelaki itu seperti tidak mahu mengambilnya.
Lolipop di mulut dikeluarkan. “Weyh, kau dah salah oranglah.” Balas Luqman lalu tersenyum sinis.
“Hah?” Pelajar perempuan di hadapannya itu kelihatan terpinga-pinga.
 Rasanya orang yang dia temui hari ini dan semalam adalah orang yang sama. Cuma yang lainnya hari pelajar itu berpakaian seragam sekolah pelajar biasa bukan pakaian pengawas seperti yang dilihatnya tempoh hari.
Tetapi itu tidak mendatangkan persoalan kepadanya kerana kadangkala terdapat juga segelintir pengawas sekolah yang bergilir-gilir memakai baju pengawas dan baju seragam sekolah yang biasa atas sebab yang tertentu.
Jadi, mengapa pula pelajar lelaki itu cakap dia sudah salah orang?
“Hakim dekat situ.” Ujar Luqman lagi lalu menunjuk ke arah kelas 5 Sains 1 di mana berhadapan dengan tempat mereka berdiri sekarang.
Melalui tingkap kelas itu yang terbuka luas, kelihatan seorang pelajar lelaki yang  serupa dengan wajah Luqman namun memakai baju pengawas sedang tekun membaca buku.
  Tidak mahu berlama-lama di situ, Luqman terus mengatur langkah menuju ke kelasnya dan meninggalkan pelajar tadi yang masih terpinga-pinga di situ.
  “Oh, rupa-rupanya dekat sekolah ni ada lagi satu ‘Hakim’.” Ateera mengomel sendiri sambil matanya tidak lepas memerhatikan ‘Hakim’ yang baru ditemuinya itu.
  “Maklumlah. Baru seminggu aku dekat sini. Manalah aku tau.” Omel Ateera lagi.
 Ateera kemudiannya terus masuk ke dalam kelas 5 Sains 1 tanpa segan silu. Waktu PMP belum bermula lagi dan cikgu pun tak masuk lagi jadi tak salah rasanya jika dia masuk untuk memulangkan buku nota Hakim.
  Ateera mendekati meja Hakim. “Nah, ini nota yang awak  bagi saya pinjam semalam. Saya dah salin. Nota awak memang kemas dan senang untuk dibaca,” Ayat yang sama dia katakan kepada ‘Hakim’ diulang semula kepada Hakim yang sebenar.
  Mendengarkan suara yang menegurnya itu, Hakim mendongak melihat pemilik suara.
  “Eh, Ateera. Awak dah salin? Wah, cepatnya!” Buku ditangan ditinggalkan sekejap. Buku nota yang dihulurkan Ateera disambut dengan baik.
  “Mestilah! Saya tak nak tertinggal apa-apa nota pun memandangkan saya ni pelajar baru di sini. Saya tak nak ketinggalan. Kalau tak susah saya nak faham apa yang cikgu ajar.” Jawab Ateera pula dengan nada ceria.
  Hakim mengangguk-angguk setuju. Dia kagum dengan semangat pelajar baru itu. Walaupun mereka dari kelas yang berbeza namun Ateera langsung tidak kekok untuk meminta membantunya dalam pelajaran.
 Dia juga sebenarnya suka menolong sesiapa saja yang memerlukan bantuan dalam pelajaran mereka. Mama cakap, ilmu yang kita ada jangan disimpan. Kita kena kongsi apa-apa ilmu yang kita ada dengan orang lain. Tak kiralah orang itu budak pandai ataupun budak kelas belakang.
  “Oh, ya. Awak ada adik-beradik yang sekolah dekat sini juga ke?” Ateera memberanikan diri bertanya.
  Hakim terdiam sejenak memikirkan soalan pelajar perempuan itu. Pasti Ateera telah pun berjumpa dengan Luqman.
  “Ada...” Belum sempat kata-katanya dihabiskan, loceng berbunyi menandakan waktu pembelajaran akan bermula sebentar lagi.
  “Alamak, saya kena balik kelas ni. Bye!” Pamit Ateera lalu mengatur langkah menuju ke pintu. Namun, baru saja beberapa langkah dibuka dia mengundur semula ke meja Hakim. Hakim kehairanan melihat pelajar itu yang berpatah balik.
  “Lupa pula nak cakap. Terima kasih sebab pinjamkan nota!” Ucapnya seraya tersenyum.
  Hakim melemparkan senyuman manis. Dia berpatah balik hanya untuk mengucapkan terima kasih? Comel betul orangnya.
  “Sama-sama. Nanti kalau nak pinjam nota lagi bagitahu je saya, okey?”
  “Okey.”
  Ateera kemudiannya berlari-lari anak menuju ke kelasnya. Tanpa mereka sedar perlakuan mereka itu menjadi perhatian salah seorang pelajar di kelas itu.

  *******
“Okey, sekarang cikgu nak bagi keputusan ujian bulan Mac yang lepas.” Ujar Cikgu Talha  iaitu guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah dan juga merupakan guru kelas  bagi kelas 5 Akaun.
“Ada pelajar yang markahnya meningkat dari tahun lepas. Tahniah cikgu ucapkan. Ada juga yang markahnya lebih kurang macam peperiksaan akhir tahun lepas. Kamu kena tingkatkan usaha, ya?
“Tapi... ada juga yang tak naik-naik markahnya. Makin turun adalah. Haish... apa nak jadilah dengan budak ni,” Ujar guru yang agak gempal badannya itu.
Kata-katanya membuatkan pelajar-pelajarnya tergelak. Sesekali mereka melihat ke arah seorang pelajar yang duduk di bahagian belakang sekali kelas itu. Mereka sudah pasti pelajar yang dimaksudkan oleh Cikgu Talha ialah pelajar tersebut.
“Luqman!” Panggil Cikgu Talha dengan suara yang kuat.
Luqman yang sedang mengelamun sambil membuang pandang ke luar kelas tersentak apabila namanya tiba-tiba saja disebut. Pandangan segera dialihkan ke arah guru lelaki itu.
“Luqman....” Panggil Cikgu Talha lagi. Kali ini suaranya dilembutkan dan dileretkan.
Luqman bangun perlahan-lahan lalu menuju ke arah Cikgu Talha. Rakan sekelasnya yang lain sudah pandang lain macam saja tatkala dia mendekati guru itu.
Pandang-pandang... Cucuk mata nanti baru kau orang tahu menyesal pandang aku! Sempat lagi dia membebel di dalam hati.
Sebaik saja dia berdiri menghadap guru itu, sehelai kertas ditunjukkan ke arahnya. Kertas itu ialah keputusan ujiannya bulan Mac yang lepas.
“Apa ni Luqman?” Tanya Cikgu Talha lembut seolah-olah dia sedang bertanya kepada seorang kanak-kanak.
“Kertas.” Jawab Luqman selamba.
Cikgu Talha menghela nafas geram memikirkan jawapan yang diberikan oleh pelajarnya itu. “Ya, itu pun saya tau. Ini kertas. Tapi ini apa???” Ujar Cikgu Talha geram lalu menunjukkan satu per satu huruf E  yang tertulis berderet ke bawah.
“Dari Bahasa Inggeris hingga ke Ekonomi Asas semuanya E! Nasib baik Bahasa Melayu kamu pun tak dapat E. Dapat D!”
Pelajar-pelajar yang lain sudah tidak dapat menahan ketawa mereka. Lucu pula mendengar keputusan Luqman yang penuh dengan E itu.
Luqman pula hanya tersengih sumbing menunjukkan giginya yang putih walaupun di dalam hati dia bengang kerana rakan sekelasnya menggelakkannya.
 Amboi... kau orang gelak ya? Kalau tak ada cikgu depan aku ni, dah lama aku belasah seorang demi seorang.
“Kenapa markah kamu teruk sangat? Kamu ada buat ulang kaji tak dekat rumah?” Tanya Cikgu Talha.
“Err... tak.” Jawab Luqman lagi dengan selamba. Tetapi memang itu pun kebenarannya. Dia langsung tidak mengulang kaji pelajaran sebelum ujian dimulakan. Dia hanya menulis jawapan yang diketahuinya semasa menjawab ujian hari itu.
Cikgu Talha memegang kepalanya yang terasa berat tiba-tiba. Boleh pula pelajar itu selamba menjawab begitu? Macam manalah rambutnya tidak gugur jika memikirkan sikap pelajar yang seperti Luqman ini.  Silap hari bulan nanti boleh botak dia!
“Apa nak jadi dengan kamu ni? Kenapa kamu lain sangat dengan adik kembar kamu tu?”
Riak wajah Luqman sudah berubah apabila dia dikaitkan dengan Hakim.
“Cuba tengok Luqman Hakim tu. Dia bukan saja budak pandai. Pengawas yang rajin pula tu. Terutamanya bila buat ulangkaji. Baik budaknya. Sopan santun. Tak pernah datang lewat ke sekolah. Tak pernah ponteng.” Puji Cikgu Talha. Luqman sudah tidak menahan mendengar setiap kebaikan Hakim yang disebut oleh cikgunya itu. Di sekolah atau di rumah semuanya sama saja! Hakim... Hakim... Hakim...
“Kenapa kamu tak nak jadi macam dia?” Tanya Cikgu Talha.
“Sebab saya bukan dia!” Kuat Luqman bersuara. Wajahnya serius menikam mata Cikgu Talha.
Bukan niatnya untuk bersikap biadap tetapi dia memang tidak suka dirinya dibanding-bandingkan dengan orang lain terutama dengan adik kembar sendiri.
Cikgu Talha dan seluruh kelas terkejut mendengar suara Luqman yang tiba-tiba saja berubah kuat itu. Suasana kelas yang tadinya riuh bertukar senyap seperti tanah perkuburan.
Luqman mengambil kertas yang berada di tangan guru itu dengan kasar lalu kembali semula ke tempatnya. Kertas itu kemudiannya dicampakkan ke atas meja. Pandangannya dialihkan semula ke luar tingkap seperti tadi.
Cikgu Talha berasa sedikit serba salah. Nampaknya dia telah mengatakan sesuatu yang tidak patut kepada pelajar bernama Luqman Haniff itu.

 “Err... baiklah. Seterusnya, Rosdi. Datang ambil keputusan kamu.” Cikgu Talha meneruskan kelasnya seperti biasa. Dia tidak mahu marah lebih-lebih kepada Luqman. Nanti pelajar itu pasti akan memberontak dengan lebih teruk lagi. 

Aku Bukan Dia 1

Langsir bercorak geometri berwarna hitam putih itu diselak. Dari balik tingkap yang menghadap timur itu Hakim dapat melihat jalur jingga sudah pun mewarna dada langit yang keunguan.
 Dia tersenyum menghayati panorama indah pada pagi itu. Dia bersyukur kerana Allah masih mengizinkannya untuk bernafas di muka bumi ini dan menyaksikan keajaiban alam itu.
Hakim yang sudah pun lengkap berpakaian seragam pengawas sekolah kemudiannya berpaling melihat ke arah katil yang bercadarkan corak jalur-jalur berwarna biru dan hitam di hadapannya. Terdapat sekujur tubuh yang masih berselubung di bawah selimut tebal itu.
Dia mendekati katil itu lalu menarik selimut tersebut. Kelihatan Luqman masih lena tidur sambil memeluk bantal peluk. Rambutnya sedikit kusut di atas bantal.
Hakim menghela nafas berat. Apalah nak jadi dengan abang kembarnya itu? Dia sudah mengejutkannya tadi untuk menunaikan solat subuh setengah jam yang lalu. Tetapi nampaknya, Luqman langsung tidak terkutik dari tempat tidurnya sehinggalah sekarang.
“Luq, bangunlah!” Jerit Hakim seraya menggoyang-goyangkan bahu Luqman. Namun, tiada sebarang reaksi daripada abang kembarnya itu.
“Woi, bangunlah. Pergi sekolah!” Ujar Hakim lagi cuba untuk mengejutkan Luqman. Bahu abang kembarnya itu digoyang dengan lebih kuat.
“Hmmm....” Suara Luqman sudah kedengaran namun matanya masih lagi terpejam. Tiada tanda-tanda yang Luqman akan bangun.
Hakim sudah penat mahu mengejutkan Luqman. Nampaknya dia terpaksa menggunakan cara kasar jika beginilah situasinya.
Langkah diatur menuju ke bilik air di dalam billik Luqman itu. Dia menadah air di dalam sebuah baldi kecil. Dia akhirnya keluar dengan membawa air separuh daripada baldi itu lalu mendekati katil Luqman semula.
“Bismillah,” Sebaik saja membaca perkataan itu Hakim terus menjirus air itu ke muka Luqman tanpa teragak-agak.
Air yang dijirus itu berjaya mengejutkan Luqman. Luqman menggelupur seketika tatkala air yang bagaikan air terjun itu mengena mukanya, membuatkan dia berasa lemas.
“Woi! Woi! Apa ni?” Marah Luqman lalu bangkit dari perbaringan. Hakim segera berhenti menjirus air ke muka Luqman. Dia hampir tergelak melihat muka Luqman yang sudah pun lencun seperti direndam dalam air.
“Air.” Jawab Hakim selamba bagi soalan abang kembarnya itu.
“Haish! Yang kau jirus air dekat muka aku tu kenapa?” Marah Luqman lagi. Siapa yang tidak marah apabila dia sedang sedap-sedap bermimpi makan aiskrim Baskin Robin tiba-tiba saja ‘hujan’ turun?
“Supaya kau bangun.” Jawab Hakim lagi dengan selamba.
“Aku tak nak bangun. Aku nak sambung tidur.” Ujar Luqman pula. Dia pantas merebahkan semula badannya ke atas katil.
Katil yang sudah basah itu langsung tidak dihiraukan. Basah pun basahlah. Dia sangat mengantuk saat ini. Malam tadi dia tidur pukul 3 pagi semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola antara Liverpool dan Manchester United.
Hakim merentap lengan Luqman dan memaksanya untuk bangun.
“Bangunlah. Nanti kita lambat pergi sekolah.”
“Kalau tak nak lambat kau pergilah sekolah sendiri.”  Marah Luqman lagi dan mengeraskan dirinya di atas katil. Dia tidak mahu bangun.
“Luq, kau jangan degil boleh tak?” Kali ini Hakim pula yang naik marah. Susah betul dia mahu mengajak abang kembarnya itu ke sekolah.
“Aku memang degil pun.”
“Kenapa bising pagi-pagi ni?” Satu suara mencelah pertengkaran mereka. Hakim melihat ke arah muka pintu bilik Luqman. Kelihatan Puan Amelia sudah pun tercegat di situ sambil berkerut muka. Kedua-dua tangannya melekat di pinggang.
Hakim terdiam. Bila mamanya sudah naik angin dia sendiri tidak tahu mahu berbuat apa. Luqman pula berpura-pura tidur walaupun dia dapat mendengar dengan jelas suara mamanya itu yang nyaring bak halilintar.
“Hakim, kalau dia tak nak pergi sekolah biarkan. Hakim pergi sekolah sendiri. Suruh Pak Cik Jufri hantarkan. Kalau Hakim nak tunggu budak tu memang sampai ke esok Hakim tak pergi sekolah.” Suara Puan Amelia tajam menghiris telinga adik-beradik itu. Sebenarnya lebih kepada menghiris hati Luqman.
Hakim tahu yang abang kembarnya itu dapat menangkap setiap perkataan bisa yang keluar dari mulut mama. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih teruk. Hakim mendekati mamanya perlahan-lahan.
“Err.. mama, Kalau Hakim nak breakfast dulu boleh?” Pinta Hakim dengan suara yang lembut.
Riak muka Puan Amelia berubah kendur. Senyuman tipis mula terukir di wajahnya. “Mestilah boleh. Apa pulak breakfast tak boleh? Breakfast tu penting untuk anak mama ni agar kekal cergas dan bersemangat di pagi hari.” Puan Amelia membelai rambut Hakim lembut.
“Mama dah breakfast? Jom kita breakfast sekali.” Hakim memancing mamanya untuk keluar dari bilik Luqman. Dia tidak tahu apa akan terjadi sekiranya mama berlama-lama di situ. Mungkin lebih banyak kata-kata pedas yang meluncur dari mulut mamanya itu. Dan mungkin hati Luqman lebih terguris.
“Jomlah.” Puan Amelia menerima pelawaan itu gembira. Mereka berdua akhirnya keluar dari bilik Luqman.
Saat itu perlahan-lahan Luqman membuka matanya. Budak tu? Sekarang nama dia pun mama tak mahu sebut?
Apa hebatnya Hakim dan apa kurangnya dia sehingga mereka adik-beradik diberi layanan yang berbeza oleh mama sendiri? Mengapa begitu?
Adakah kerana Hakim lebih bijak daripadanya? Adakah kerana Hakim begitu baik di mata mama tetapi dia pula yang bersikap teruk?
Mama seharusnya sedar mengapa dia bertindak sedemikian. Perhatian mama terhadapnya sudah berkurang sejak 5 tahun yang lalu iaitu apabila Hakim disahkan mempunyai masalah jantung.
 Mama memberikan perhatian sebanyak 100% kepada Hakim berbanding diriya. Oleh itu, dia berasa terpinggir. Dia mahu mama memberikan perhatian kepadanya juga. Bukan kepada Hakim seorang saja.

Malas mahu menyerabutkan otaknya dengan perkara yang melibatkan hati dan perasaan itu, Luqman terus bangkit dari katil. Tuala yang tersidai di tempat penyidai bersebelahan katilnya dicapai lalu langkah terus diatur menuju ke bilik air.