Langsir
bercorak geometri berwarna hitam putih itu diselak. Dari balik tingkap yang
menghadap timur itu Hakim dapat melihat jalur jingga sudah pun mewarna dada
langit yang keunguan.
Dia tersenyum menghayati panorama indah pada
pagi itu. Dia bersyukur kerana Allah masih mengizinkannya untuk bernafas di
muka bumi ini dan menyaksikan keajaiban alam itu.
Hakim
yang sudah pun lengkap berpakaian seragam pengawas sekolah kemudiannya berpaling
melihat ke arah katil yang bercadarkan corak jalur-jalur berwarna biru dan
hitam di hadapannya. Terdapat sekujur tubuh yang masih berselubung di bawah
selimut tebal itu.
Dia
mendekati katil itu lalu menarik selimut tersebut. Kelihatan Luqman masih lena
tidur sambil memeluk bantal peluk. Rambutnya sedikit kusut di atas bantal.
Hakim
menghela nafas berat. Apalah nak jadi dengan abang kembarnya itu? Dia sudah
mengejutkannya tadi untuk menunaikan solat subuh setengah jam yang lalu. Tetapi
nampaknya, Luqman langsung tidak terkutik dari tempat tidurnya sehinggalah
sekarang.
“Luq,
bangunlah!” Jerit Hakim seraya menggoyang-goyangkan bahu Luqman. Namun, tiada
sebarang reaksi daripada abang kembarnya itu.
“Woi,
bangunlah. Pergi sekolah!” Ujar Hakim lagi cuba untuk mengejutkan Luqman. Bahu
abang kembarnya itu digoyang dengan lebih kuat.
“Hmmm....”
Suara Luqman sudah kedengaran namun matanya masih lagi terpejam. Tiada
tanda-tanda yang Luqman akan bangun.
Hakim
sudah penat mahu mengejutkan Luqman. Nampaknya dia terpaksa menggunakan cara
kasar jika beginilah situasinya.
Langkah
diatur menuju ke bilik air di dalam billik Luqman itu. Dia menadah air di dalam
sebuah baldi kecil. Dia akhirnya keluar dengan membawa air separuh daripada
baldi itu lalu mendekati katil Luqman semula.
“Bismillah,”
Sebaik saja membaca perkataan itu Hakim terus menjirus air itu ke muka Luqman
tanpa teragak-agak.
Air
yang dijirus itu berjaya mengejutkan Luqman. Luqman menggelupur seketika
tatkala air yang bagaikan air terjun itu mengena mukanya, membuatkan dia berasa
lemas.
“Woi!
Woi! Apa ni?” Marah Luqman lalu bangkit dari perbaringan. Hakim segera berhenti
menjirus air ke muka Luqman. Dia hampir tergelak melihat muka Luqman yang sudah
pun lencun seperti direndam dalam air.
“Air.”
Jawab Hakim selamba bagi soalan abang kembarnya itu.
“Haish!
Yang kau jirus air dekat muka aku tu kenapa?” Marah Luqman lagi. Siapa yang
tidak marah apabila dia sedang sedap-sedap bermimpi makan aiskrim Baskin Robin
tiba-tiba saja ‘hujan’ turun?
“Supaya
kau bangun.” Jawab Hakim lagi dengan selamba.
“Aku
tak nak bangun. Aku nak sambung tidur.” Ujar Luqman pula. Dia pantas merebahkan
semula badannya ke atas katil.
Katil
yang sudah basah itu langsung tidak dihiraukan. Basah pun basahlah. Dia sangat
mengantuk saat ini. Malam tadi dia tidur pukul 3 pagi semata-mata mahu
menyaksikan perlawanan bola antara Liverpool dan Manchester United.
Hakim
merentap lengan Luqman dan memaksanya untuk bangun.
“Bangunlah.
Nanti kita lambat pergi sekolah.”
“Kalau
tak nak lambat kau pergilah sekolah sendiri.”
Marah Luqman lagi dan mengeraskan dirinya di atas katil. Dia tidak mahu
bangun.
“Luq,
kau jangan degil boleh tak?” Kali ini Hakim pula yang naik marah. Susah betul
dia mahu mengajak abang kembarnya itu ke sekolah.
“Aku
memang degil pun.”
“Kenapa
bising pagi-pagi ni?” Satu suara mencelah pertengkaran mereka. Hakim melihat ke
arah muka pintu bilik Luqman. Kelihatan Puan Amelia sudah pun tercegat di situ
sambil berkerut muka. Kedua-dua tangannya melekat di pinggang.
Hakim
terdiam. Bila mamanya sudah naik angin dia sendiri tidak tahu mahu berbuat apa.
Luqman pula berpura-pura tidur walaupun dia dapat mendengar dengan jelas suara
mamanya itu yang nyaring bak halilintar.
“Hakim,
kalau dia tak nak pergi sekolah biarkan. Hakim pergi sekolah sendiri. Suruh Pak
Cik Jufri hantarkan. Kalau Hakim nak tunggu budak tu memang sampai ke esok
Hakim tak pergi sekolah.” Suara Puan Amelia tajam menghiris telinga
adik-beradik itu. Sebenarnya lebih kepada menghiris hati Luqman.
Hakim
tahu yang abang kembarnya itu dapat menangkap setiap perkataan bisa yang keluar
dari mulut mama. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih teruk. Hakim mendekati
mamanya perlahan-lahan.
“Err..
mama, Kalau Hakim nak breakfast dulu
boleh?” Pinta Hakim dengan suara yang lembut.
Riak
muka Puan Amelia berubah kendur. Senyuman tipis mula terukir di wajahnya.
“Mestilah boleh. Apa pulak breakfast tak boleh? Breakfast tu penting untuk anak
mama ni agar kekal cergas dan bersemangat di pagi hari.” Puan Amelia membelai
rambut Hakim lembut.
“Mama
dah breakfast? Jom kita breakfast sekali.” Hakim memancing
mamanya untuk keluar dari bilik Luqman. Dia tidak tahu apa akan terjadi
sekiranya mama berlama-lama di situ. Mungkin lebih banyak kata-kata pedas yang
meluncur dari mulut mamanya itu. Dan mungkin hati Luqman lebih terguris.
“Jomlah.”
Puan Amelia menerima pelawaan itu gembira. Mereka berdua akhirnya keluar dari
bilik Luqman.
Saat
itu perlahan-lahan Luqman membuka matanya. Budak tu? Sekarang nama dia pun mama
tak mahu sebut?
Apa
hebatnya Hakim dan apa kurangnya dia sehingga mereka adik-beradik diberi
layanan yang berbeza oleh mama sendiri? Mengapa begitu?
Adakah
kerana Hakim lebih bijak daripadanya? Adakah kerana Hakim begitu baik di mata
mama tetapi dia pula yang bersikap teruk?
Mama seharusnya
sedar mengapa dia bertindak sedemikian. Perhatian mama terhadapnya sudah
berkurang sejak 5 tahun yang lalu iaitu apabila Hakim disahkan mempunyai
masalah jantung.
Mama memberikan perhatian sebanyak 100% kepada
Hakim berbanding diriya. Oleh itu, dia berasa terpinggir. Dia mahu mama
memberikan perhatian kepadanya juga. Bukan kepada Hakim seorang saja.
Malas
mahu menyerabutkan otaknya dengan perkara yang melibatkan hati dan perasaan
itu, Luqman terus bangkit dari katil. Tuala yang tersidai di tempat penyidai
bersebelahan katilnya dicapai lalu langkah terus diatur menuju ke bilik air.
No comments:
Post a Comment