Koridor
blok B itu penuh dengan para pelajar yang mahu menuju ke kelas masing-masing.
Langkah merekanya semua laju kerana takut terlambat masuk ke dalam kelas
sebelum loceng berbunyi.
Hanya
Luqman saja yang mengatur langkah malas menuju ke kelasnya yang terletak di
hujung koridor itu. Beg galasnya disandang di sebelah bahu saja. Kedua-dua
tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Di mulutnya terdapat sebatang
gula-gula lolipop. Lagaknya seperti samseng saja.
“Hakim!”
Tiba-tiba kedengaran nama adik kembarnya itu dipanggil. Luqman malas mahu
mengambil tahu. Langkah terus dibuka tanpa mempedulikan sekelilingnya.
“Hakim!”
Suara itu semakin kuat kedengaran berhampiran dengannya. Tidak lama selepas
itu, seorang pelajar perempuan bercermin mata berbingkai tebal berdiri di
hadapannya sambil tersenyum.
Luqman
kehairanan atas dua sebab. Pertama, dia tidak mengenali pelajar itu. Kedua,
nama Hakim yang disebut tetapi kenapa pelajar itu berdiri di hadapannya pula?
Pelajar
itu menghulurkan sebuah buku nota kecil berwarna hijau. “Nah, ini nota yang awak bagi saya pinjam semalam. Saya dah salin.
Nota awak memang kemas dan senang untuk dibaca,” Puji pelajar itu tanpa
menyedari yang dia sudah tersalah orang.
Luqman
menjongket kening tanda hairan.
Memang
tidak dinafikan yang wajah dia dan Hakim amat serupa sekali sehingga kadangkala
guru-guru dan pelajar sekolah lain keliru mahu mengenal pasti mereka.
Namun, perbezaan antara dia dengan adik kembarnya itu ialah Hakim seorang
pengawas dan dia hanyalah seorang pelajar biasa. Rasanya itu semua sudah
diketahui oleh semua di sekolah ini.
Tapi
yang peliknya, mengapa masih ada pelajar lagi yang sudah tersalah anggap antara
dia dan Hakim?
Pelajar
perempuan itu menghulurkan lagi buku nota itu kepada ‘Hakim’ kerana pelajar lelaki
itu seperti tidak mahu mengambilnya.
Lolipop
di mulut dikeluarkan. “Weyh, kau dah salah oranglah.” Balas Luqman lalu
tersenyum sinis.
“Hah?”
Pelajar perempuan di hadapannya itu kelihatan terpinga-pinga.
Rasanya orang yang dia temui hari ini dan
semalam adalah orang yang sama. Cuma yang lainnya hari pelajar itu berpakaian
seragam sekolah pelajar biasa bukan pakaian pengawas seperti yang dilihatnya
tempoh hari.
Tetapi
itu tidak mendatangkan persoalan kepadanya kerana kadangkala terdapat juga
segelintir pengawas sekolah yang bergilir-gilir memakai baju pengawas dan baju
seragam sekolah yang biasa atas sebab yang tertentu.
Jadi,
mengapa pula pelajar lelaki itu cakap dia sudah salah orang?
“Hakim
dekat situ.” Ujar Luqman lagi lalu menunjuk ke arah kelas 5 Sains 1 di mana
berhadapan dengan tempat mereka berdiri sekarang.
Melalui
tingkap kelas itu yang terbuka luas, kelihatan seorang pelajar lelaki yang serupa dengan wajah Luqman namun memakai baju
pengawas sedang tekun membaca buku.
Tidak mahu berlama-lama di situ, Luqman terus
mengatur langkah menuju ke kelasnya dan meninggalkan pelajar tadi yang masih
terpinga-pinga di situ.
“Oh, rupa-rupanya dekat sekolah ni ada lagi
satu ‘Hakim’.” Ateera mengomel sendiri sambil matanya tidak lepas memerhatikan
‘Hakim’ yang baru ditemuinya itu.
“Maklumlah. Baru seminggu aku dekat sini.
Manalah aku tau.” Omel Ateera lagi.
Ateera kemudiannya terus masuk ke dalam kelas 5
Sains 1 tanpa segan silu. Waktu PMP belum bermula lagi dan cikgu pun tak masuk
lagi jadi tak salah rasanya jika dia masuk untuk memulangkan buku nota Hakim.
Ateera mendekati meja Hakim. “Nah, ini nota
yang awak bagi saya pinjam semalam. Saya
dah salin. Nota awak memang kemas dan senang untuk dibaca,” Ayat yang sama dia
katakan kepada ‘Hakim’ diulang semula kepada Hakim yang sebenar.
Mendengarkan suara yang menegurnya itu, Hakim
mendongak melihat pemilik suara.
“Eh, Ateera. Awak dah salin? Wah, cepatnya!”
Buku ditangan ditinggalkan sekejap. Buku nota yang dihulurkan Ateera disambut
dengan baik.
“Mestilah! Saya tak nak tertinggal apa-apa
nota pun memandangkan saya ni pelajar baru di sini. Saya tak nak ketinggalan.
Kalau tak susah saya nak faham apa yang cikgu ajar.” Jawab Ateera pula dengan
nada ceria.
Hakim mengangguk-angguk setuju. Dia kagum
dengan semangat pelajar baru itu. Walaupun mereka dari kelas yang berbeza namun
Ateera langsung tidak kekok untuk meminta membantunya dalam pelajaran.
Dia juga sebenarnya suka menolong sesiapa saja
yang memerlukan bantuan dalam pelajaran mereka. Mama cakap, ilmu yang kita ada
jangan disimpan. Kita kena kongsi apa-apa ilmu yang kita ada dengan orang lain.
Tak kiralah orang itu budak pandai ataupun budak kelas belakang.
“Oh, ya. Awak ada adik-beradik yang sekolah
dekat sini juga ke?” Ateera memberanikan diri bertanya.
Hakim terdiam sejenak memikirkan soalan
pelajar perempuan itu. Pasti Ateera telah pun berjumpa dengan Luqman.
“Ada...” Belum sempat kata-katanya dihabiskan,
loceng berbunyi menandakan waktu pembelajaran akan bermula sebentar lagi.
“Alamak, saya kena balik kelas ni. Bye!” Pamit Ateera lalu mengatur langkah
menuju ke pintu. Namun, baru saja beberapa langkah dibuka dia mengundur semula
ke meja Hakim. Hakim kehairanan melihat pelajar itu yang berpatah balik.
“Lupa pula nak cakap. Terima kasih sebab
pinjamkan nota!” Ucapnya seraya tersenyum.
Hakim melemparkan senyuman manis. Dia berpatah
balik hanya untuk mengucapkan terima kasih? Comel betul orangnya.
“Sama-sama. Nanti kalau nak pinjam nota lagi
bagitahu je saya, okey?”
“Okey.”
Ateera kemudiannya berlari-lari anak menuju ke
kelasnya. Tanpa mereka sedar perlakuan mereka itu menjadi perhatian salah
seorang pelajar di kelas itu.
*******
“Okey,
sekarang cikgu nak bagi keputusan ujian bulan Mac yang lepas.” Ujar Cikgu
Talha iaitu guru yang mengajar mata
pelajaran Sejarah dan juga merupakan guru kelas
bagi kelas 5 Akaun.
“Ada
pelajar yang markahnya meningkat dari tahun lepas. Tahniah cikgu ucapkan. Ada
juga yang markahnya lebih kurang macam peperiksaan akhir tahun lepas. Kamu kena
tingkatkan usaha, ya?
“Tapi...
ada juga yang tak naik-naik markahnya. Makin turun adalah. Haish... apa nak
jadilah dengan budak ni,” Ujar guru yang agak gempal badannya itu.
Kata-katanya
membuatkan pelajar-pelajarnya tergelak. Sesekali mereka melihat ke arah seorang
pelajar yang duduk di bahagian belakang sekali kelas itu. Mereka sudah pasti
pelajar yang dimaksudkan oleh Cikgu Talha ialah pelajar tersebut.
“Luqman!”
Panggil Cikgu Talha dengan suara yang kuat.
Luqman
yang sedang mengelamun sambil membuang pandang ke luar kelas tersentak apabila
namanya tiba-tiba saja disebut. Pandangan segera dialihkan ke arah guru lelaki
itu.
“Luqman....”
Panggil Cikgu Talha lagi. Kali ini suaranya dilembutkan dan dileretkan.
Luqman
bangun perlahan-lahan lalu menuju ke arah Cikgu Talha. Rakan sekelasnya yang
lain sudah pandang lain macam saja tatkala dia mendekati guru itu.
Pandang-pandang...
Cucuk mata nanti baru kau orang tahu menyesal pandang aku! Sempat lagi dia
membebel di dalam hati.
Sebaik
saja dia berdiri menghadap guru itu, sehelai kertas ditunjukkan ke arahnya.
Kertas itu ialah keputusan ujiannya bulan Mac yang lepas.
“Apa
ni Luqman?” Tanya Cikgu Talha lembut seolah-olah dia sedang bertanya kepada
seorang kanak-kanak.
“Kertas.”
Jawab Luqman selamba.
Cikgu
Talha menghela nafas geram memikirkan jawapan yang diberikan oleh pelajarnya
itu. “Ya, itu pun saya tau. Ini kertas. Tapi ini apa???” Ujar Cikgu Talha geram
lalu menunjukkan satu per satu huruf E
yang tertulis berderet ke bawah.
“Dari
Bahasa Inggeris hingga ke Ekonomi Asas semuanya E! Nasib baik Bahasa Melayu
kamu pun tak dapat E. Dapat D!”
Pelajar-pelajar
yang lain sudah tidak dapat menahan ketawa mereka. Lucu pula mendengar
keputusan Luqman yang penuh dengan E itu.
Luqman
pula hanya tersengih sumbing menunjukkan giginya yang putih walaupun di dalam
hati dia bengang kerana rakan sekelasnya menggelakkannya.
Amboi... kau orang gelak ya? Kalau tak ada
cikgu depan aku ni, dah lama aku belasah seorang demi seorang.
“Kenapa
markah kamu teruk sangat? Kamu ada buat ulang kaji tak dekat rumah?” Tanya
Cikgu Talha.
“Err...
tak.” Jawab Luqman lagi dengan selamba. Tetapi memang itu pun kebenarannya. Dia
langsung tidak mengulang kaji pelajaran sebelum ujian dimulakan. Dia hanya menulis
jawapan yang diketahuinya semasa menjawab ujian hari itu.
Cikgu
Talha memegang kepalanya yang terasa berat tiba-tiba. Boleh pula pelajar itu
selamba menjawab begitu? Macam manalah rambutnya tidak gugur jika memikirkan
sikap pelajar yang seperti Luqman ini.
Silap hari bulan nanti boleh botak dia!
“Apa
nak jadi dengan kamu ni? Kenapa kamu lain sangat dengan adik kembar kamu tu?”
Riak
wajah Luqman sudah berubah apabila dia dikaitkan dengan Hakim.
“Cuba
tengok Luqman Hakim tu. Dia bukan saja budak pandai. Pengawas yang rajin pula
tu. Terutamanya bila buat ulangkaji. Baik budaknya. Sopan santun. Tak pernah
datang lewat ke sekolah. Tak pernah ponteng.” Puji Cikgu Talha. Luqman sudah
tidak menahan mendengar setiap kebaikan Hakim yang disebut oleh cikgunya itu.
Di sekolah atau di rumah semuanya sama saja! Hakim... Hakim... Hakim...
“Kenapa
kamu tak nak jadi macam dia?” Tanya Cikgu Talha.
“Sebab
saya bukan dia!” Kuat Luqman bersuara. Wajahnya serius menikam mata Cikgu
Talha.
Bukan
niatnya untuk bersikap biadap tetapi dia memang tidak suka dirinya
dibanding-bandingkan dengan orang lain terutama dengan adik kembar sendiri.
Cikgu
Talha dan seluruh kelas terkejut mendengar suara Luqman yang tiba-tiba saja berubah
kuat itu. Suasana kelas yang tadinya riuh bertukar senyap seperti tanah
perkuburan.
Luqman
mengambil kertas yang berada di tangan guru itu dengan kasar lalu kembali
semula ke tempatnya. Kertas itu kemudiannya dicampakkan ke atas meja.
Pandangannya dialihkan semula ke luar tingkap seperti tadi.
Cikgu
Talha berasa sedikit serba salah. Nampaknya dia telah mengatakan sesuatu yang
tidak patut kepada pelajar bernama Luqman Haniff itu.
“Err... baiklah. Seterusnya, Rosdi. Datang
ambil keputusan kamu.” Cikgu Talha meneruskan kelasnya seperti biasa. Dia tidak
mahu marah lebih-lebih kepada Luqman. Nanti pelajar itu pasti akan memberontak
dengan lebih teruk lagi.
No comments:
Post a Comment